Ada Duit Atau Harta Daripada Sumber Yang Haram? Ini Dia Cara Pengurusan Wang Tidak Patuh Syariah

Masa zaman gelap atau zaman jahiliah dulu, ada di kalangan kita yang telah memperolehi rezeki daripada sumber yang tak syariah-compliant. Atau dalam erti kata lain, sumber yang haram.

Tapi sekarang dah insaf, apa kita nak buat dengan duit atau harta daripada sumber yang haram tersebut? Berikut merupakan jalan penyelesaian yang diberikan oleh pihak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Apa Itu Wang atau Harta Tidak Patuh Syariah?

Prof. Dr. Muhammad Nabil Ghanayim, Profesor di Kuliyyah Syariah Universiti Kaherah, telah mentakrifkan wang atau harta tidak patuh syariah sebagai harta haram yang diperolehi melalui jalan-jalan yang tidak syarie iaitu mengambil harta yang terdapat larangan ke atasnya atau terdapat balasan (had) ke atas pelakunya, atau terdapat janji buruk berkaitannya, atau yang dinamakan sebagai batil oleh Allah S.W.T.

Pandangan Imam Al-Syafie juga telah menyatakan bahawa syariah telah melarang lapan perkara pokok iaitu riba, gharar, perjudian, penipuan, rampasan, ihtikar (monopoli barangan), rasuah dan perniagaan yang tidak patuh syariah serta mendatangkan kemudaratan (seperti arak, babi, bangkai, makanan yang memudaratkan, pendapatan daripada pelacuran dan seumpamanya).

Manakala kebanyakan fuqaha’ mutakhir ini mentakrifkan harta tidak patuh syariah ialah harta yang dimiliki dan diperolehi melalui wasilah yang tidak diiktiraf oleh syarak seperti rompakan, rampasan, hasil jualan barang curi, rasuah, perjudian, loteri, transaksi riba, perlindungan insurans konvensional, keuntungan pelaburan di dalam sekuriti tidak patuh syariah dan seumpamanya.

Menurut Suruhanjaya Sekuriti (SC) Malaysia, sesebuah pelaburan atau syarikat diklasifikasikan sebagai sekuriti yang tidak patuh syariah sekiranya syarikat atau pelaburan itu menjalankan aktiviti yang tidak selaras dengan syariah seperti berikut:

i.     Perkhidmatan kewangan yang berteraskan riba (faedah);
ii.    Perjudian dan pertaruhan;
iii.   Pengeluaran atau penjualan barangan yang tidak halal;
iv.   Insurans konvensional;
v.    Aktiviti hiburan yang tidak selaras dengan syariah;
vi.   Pengeluaran atau penjualan barangan yang berasaskan tembakau atau barangan yang berkaitan;
vii.  Pembrokeran atau jual beli sekuriti tidak patuh syariah; dan
viii. Aktiviti lain yang didapati tidak selaras dengan syariah.

Kaedah Pelupusan Wang Tidak Patuh Syariah

Imam Al-Nawawi

Imam Al-Nawawi di dalam kaedah penyelesaian harta haram telah menukilkan pandangan al-Ghazali yang menyatakan jika seseorang lelaki itu memiliki harta haram dan hendak bertaubat serta melepaskan tanggungan daripada harta haram tersebut, maka harta tersebut mestilah diserahkan kepada pemiliknya atau wakil pemilik tersebut. Sekiranya pemilik tersebut telah meninggal dunia, berkewajipan untuk menyerahkan kepada ahli warisnya. Sekiranya pemilik harta tersebut tidak dapat dikenal pasti, maka harta tersebut mestilah diserahkan (dibelanjakan) untuk tujuan maslahah umum seperti membiayai pembinaan jambatan, jalan raya dan seumpamanya.

Syeikh Atiyyah Saqar

Manakala Syeikh Atiyyah Saqar, mantan Ketua Lajnah Fatwa Al-Azhar telah menyatakan kaedah melupuskan harta haram ketika bertaubat adalah mengikut kaedah berikut:

i.    Memulangkan kembali harta itu kepada si pemilik asal atau waris pemilik apabila diketahui pemilik harta tersebut; dan

ii.   Apabila tidak diketahui pemilik asal harta tersebut, maka harta tersebut hendaklah diserahkan kepada fakir miskin bagi memisahkan dirinya daripada harta haram yang diperolehinya. Penyerahan harta tersebut kepada fakir miskin bukanlah untuk mendapatkan pahala daripada serahan tersebut.

Hal di atas bersandarkan kepada hadis Rasulullah S.A.W. yang bermaksud: “Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah S.A.W. telah bersabda: Barangsiapa yang menzalimi kehormatan atau apa sahaja harta saudaranya hendaklah ia meminta halal daripadanya pada hari ini sehingga jangan berbaki satu dinar atau dirham. Jika tidak, sekiranya dia mempunyai amal soleh, maka akan diambil amal solehnya dengan kadar kezaliman yang dilakukannya, dan kiranya tiada lagi kebaikan, maka akan dipertanggungjawabkan kejahatan orang yang dizaliminya itu pula.”
(Riwayat Al-Bukhari)

Dalam sebuah hadis lain yang bermaksud: “Daripada Samurah katanya, Nabi S.A.W. bersabda: Kewajipan di atas tangan (mencuri) apa-apa yang diambilnya sehinggalah ia memulangkannya.”
(Riwayat al-Tirmizi)

Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi

Berkenaan dengan kedudukan wang-wang faedah yang diperolehi secara haram, Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi dalam kitabnya Fatawa Mu’asirah telah memutuskan wang-wang faedah yang diperolehi secara haram adalah haram secara yakin untuk ditinggalkan begitu sahaja di bank-bank konvensional.

Menurut beliau, ia seolah-olah seperti menolong bank-bank konvensional yang akan turut menggunakan wang-wang faedah yang ditinggalkan itu untuk tujuan yang bertentangan dengan hukum syarak.
 
Beliau menegaskan, tidak harus seseorang menggunakannya (wang faedah) tersebut kerana tindakan menggunakan wang tersebut adalah termasuk di dalam kategori memakan harta yang diperolehi melalui jalan kezaliman. Tidak boleh dimanfaatkan melalui jalan makanan, minuman, tempat tinggal, membayar cukai dan sebagainya.

Menurut Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi juga, sesuatu yang haram itu tidak boleh dimiliki sebaliknya ia menjadi milik maslahah umum seperti dibelanjakan kepada perkara-perkara kebajikan seperti membantu anak-anak yatim, perkembangan dakwah Islam, pembinaan masjid dan pusat Islam, penyediaan para pendakwah, penerbitan kitab-kitab agama dan seumpamanya yang bersifat kebajikan.

Kaedah Fiqh

Timbul persoalan sekiranya wang yang halal dan wang yang haram bercampur aduk dan tidak dapat dibezakan, contohnya wang simpanan yang halal di dalam bank bercampur dengan wang faedah yang haram dalam akaun yang sama, bagaimanakah ianya dapat dijernihkan?

Dalam kaedah fiqh, terdapat satu kaedah yang berkaitan iaitu: “apabila berkumpul perkara yang halal dengan perkara yang haram, maka dimenangkan (dikira) yang haram.”

Menurut kaedah di atas, apabila perkara yang halal dan yang haram bercampur aduk dalam sesuatu perkara itu, maka ia dianggap sebagai haram.

Dalam konteks ini, apa yang jelas adalah sesuatu yang halal tersebut (wang pokok) boleh digunakan manakala yang haram itu (faedah) hendaklah dilupuskan dengan menyerahkannya kepada pihak Baitulmal bagi tujuan maslahah umum.

Namun sekiranya nilai yang halal dan haram itu tidak dapat dipastikan, maka kaedah berijtihad nilai (al-ihtiyath) boleh digunakan bagi menentukan pembahagian yang betul antara kedua-duanya.

Dengan cara ini, perkara yang halal dapat diasingkan daripada perkara yang haram dan masih dapat dimanfaatkan walaupun telah berlaku campur aduk antara kedua-duanya.

Penggunaan dan Pengagihan Wang Tidak Patuh Syariah

Keharusan penggunaan harta yang haram digunakan untuk tujuan maslahah umum juga dapat dilihat berdasarkan peristiwa sewaktu Rasulullah S.A.W. menyuruh menyedekahkan kambing yang diberikan kepadanya. Kambing tersebut diambil dari sumber yang haram (diambil tanpa diketahui siapa pemiliknya), lalu Rasulullah S.A.W. menyuruh kambing tersebut disembelih dan diberikan kepada tawanan perang.

Sesuatu harta yang diperolehi dari sumber yang haram juga tidak wajar dimusnahkan terutamanya sekiranya harta-harta tersebut mempunyai manfaat. 

Walau bagaimanapun, dalam apa jua keadaan orang yang bersedekah dengan harta yang haram atau syubhah ke jalan kebajikan tetap tidak mendapat pahala sedekah, sebaliknya akan mendapat pahala dari sudut lain iaitu beroleh pahala disebabkan usahanya untuk melupuskan harta yang haram dan tidak menggunakan harta tersebut untuk dirinya dan ini adalah pahala disisi Allah S.W.T.

Manakala sumbangannya adalah mekanisme kebajikan yang menyampaikan harta yang mengambil faedah dari sedekah itu dan inilah pahala atas usahanya dengan izin Allah S.W.T.

Rebut Saham Akhirat Dengan Infaq Dan Waqaf Bagi Pembinaan Bangunan Tahfiz Al Quran Al Ansar

Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam 1971

Di negara kita Malaysia, ketetapan berkenaan penyaluran wang-wang haram telah diputuskan sejak dahulu lagi iaitu melalui keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Kali Ke-3 pada 21hb. Jun 1971 yang telah memutuskan:

i.    Faedah yang diperolehi daripada wang simpanan yang dibuat oleh institusi Islam atau perniagaan atau badan kebajikan yang dianggotai oleh orang-orang Islam dalam mana-mana bank harus diterima oleh badan-badan itu atas alasan kecemasan ekonomi orang-orang Islam pada masa ini.

ii.   Faedah yang diperolehi daripada wang simpanan seseorang Muslim dalam mana-mana bank harus diterima olehnya atas alasan kerana kecemasan itu juga, tetapi wang faedah itu hendaklah dimasukkan dalam Baitulmal atau untuk kegunaan maslahah umum.

Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam 2009

Melalui keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa ke-87, Majlis Kebangsaaan bagi Hal Ehwal Islam pada 23-25 Jun 2009, telah dinyatakan iaitu:

“Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa di dalam Islam harta-harta yang diperolehi dengan cara yang tidak mematuhi syariah seperti riba, gharar, perjudian, penipuan, rompakan, rampasan, rasuah dan seumpamanya adalah haram dan tidak boleh digunakan untuk manfaat dan kepentingan diri sendiri serta perlu dibersihkan melalui kaedah-kaedah berikut:

i. Diserahkan kepada baitulmal untuk maslahah umum umat Islam seperti membiayai pembinaan atau penyelenggaraan jambatan, jalan, tandas dan seumpamanya;

ii.   Diserahkan kepada golongan fakir miskin; atau

iii. Jika harta tersebut merupakan harta rompak, curi dan seumpamanya, maka harta tersebut perlu diserahkan semula kepada pemiliknya. Jika pemiliknya telah meninggal dunia atau tidak dapat dijumpai, maka harta tersebut mestilah dikembalikan kepada ahli warisnya. Sekiranya tidak dapat diketahui pemilik atau ahli waris pemilik, maka harta tersebut hendaklah diserahkan kepada baitulmal”.

Keputusan Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti

Baitulmal juga telah disenaraikan oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti dalam ketetapannya berkenaan Senarai Sekuriti Patuh Syariah pada 20hb. November 2008 yang mana antara lain menyebut:

i.    “Sekuriti patuh syariah” yang kemudiannya bertukar status kepada “tidak patuh syariah”        
“… Walau bagaimanapun, sebarang lebihan keuntungan modal yang diperoleh daripada penjualan selepas hari pengumuman pada harga pasaran yang lebih tinggi daripada harga penutup pada hari pengumuman, hendaklah disalurkan kepada badan kebajikan atau baitulmal”.

ii.    Sekuriti patuh syariah
“… Sebarang keuntungan dalam bentuk keuntungan modal atau dividen yang diperoleh ketika atau selepas pelupusan sekuriti berkenaan hendaklah disalurkan kepada badan kebajikan atau baitulmal. Pelabur hanya berhak untuk memperoleh kembali kos pembelian asal sahaja”. 

Pengklasifikasian sesuatu pelaburan yang mematuhi syariah (shariah-compliant securities) boleh dilihat dengan jelas melalui Senarai Sekuriti Patuh Syariah yang dikeluarkan Majlis Penasihat Syariah, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bertarikh 26hb. November 2010. Lebih dari itu, dinyatakan juga dalam senarai tersebut bagaimana aras sesuatu sekuriti itu diukur dari segi kehalalan dan kepatuhan prinsip syariahnya. Bukan itu sahaja, senarai tersebut juga dinyatakan syarikat-syarikat yang terkeluar atau tidak mematuhi syariah dengan jelas.

Selain dari itu, Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti juga telah mengeluarkan Senarai Sekuriti Patuh Syariah (List of Shariah-Compliant Securities) pada 25hb. Nov 2011 dan List of launched funds in relation to unit trust funds yang dikemaskini pada 31hb. Oktober 2011 yang mana jelas menyatakan dana-dana amanah yang mematuhi syariah dan tidak mematuhi syariah.

Titah DYMM Sultan Selangor

Di negeri Selangor, DYMM Sultan Selangor telah bertitah semasa Perasmian Dewan Undangan Negeri Selangor pada 10 Mac 2009 iaitu:

“Beta juga dengan sukacitanya mengambil kesempatan ini menyeru kerajaan negeri menyokong usaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memastikan penyaluran wang syubhah daripada mana-mana orang dan syarikat-syarikat yang beroperasi di Selangor ke akaun Baitulmal, MAIS. Wang syubhah ialah wang yang dihasilkan daripada aktiviti yang tidak diketahui status halal atau haram dan bercampur dengan perkara yang dilarang oleh syariah. Pengumpulan wang syubhah oleh MAIS ini akan digunakan untuk kepentingan umum masyarakat seperti pembinaan kemudahan awam yang manfaatnya kepada orang Islam dan juga bukan Islam. Keputusan untuk menyalurkan wang syubhah ini ke akaun Baitulmal telah dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa  Baitulmal Kebangsaan Pada 19 Februari 2009 dan Majlis Penasihat Syariah (MPS) Suruhanjaya Sekuriti juga telah menyenaraikan Baitulmal sebagai badan penerima wang syubhah di dalam “Senarai Sekuriti Patuh Syariah Oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti” bertarikh 28 November 2008.”

Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor

Sejajar dengan itu, satu ketetapan berkenaan penyaluran wang tidak patuh syariah atau wang haram ini juga telah dibuat melalui keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Bil. 1/2009 pada 18hb. Mac 2009 yang menyatakan:

i.    Wang tidak patuh syariah yang diperolehi boleh dijadikan sumber baitulmal dan harus dimasukkan ke dalam akaun baitulmal.

ii.   Penggunaan wang tidak patuh syariah harus untuk kegunaan menjalankan operasi perjalanan kerja di MAIS seperti pembinaan, penyelenggaraan bangunan, emolumen, pendidikan, pertanian, penyelidikan, perubatan, kemudahan asas seperti pembinaan dewan, tandas, jambatan dan lain-lain untuk kegunaan umum.

Peranan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS)

Sebagai sebuah organisasi ulung yang bertanggungjawab mentadbir dan memegang amanah harta-harta orang Islam, MAIS berperanan untuk menyampaikan maklumat dan pengetahuan kepada seluruh umat Islam berkenaan peri pentingnya mengurus harta secara bijaksana sebagaimana yang dituntut oleh hukum syarak.

Hal ini bertepatan Firman Allah S.W.T. yang bermaksud: “Dan janganlah kamu makan harta-harta sesama kamu dengan jalan yang batil dan janganlah kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim-hakim dengan tujuan supaya kamu dapat memakan sebahagian dari harta orang lain dengan cara yang berdosa, sedangkan kamu mengetahui”.
(Surah Al-Baqarah: Ayat 188)

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba”.
(Surah Al-Baqarah: Ayat 275)

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan suka sama suka di antara kamu”.
(Surah Al-Nisa’: Ayat 29)

Pelbagai cabang pengurusan harta Islam telah diteroka dan hasilnya ia direalisasikan untuk manfaat seluruh umat Islam negeri ini. Aplikasi pelaksanaan sesuatu perkhidmatan itu dikaji dari segenap segi bagi memastikan perjalanan atau proses perkhidmatan yang dilaksanakan sentiasa bersandarkan kepada hukum syarak.

Mengambil pendekatan di atas, salah satu terimaan yang diperolehi di MAIS adalah melalui serahan wang tidak patuh syariah. Wang tidak patuh syariah boleh dikatakan sebagai istilah baru bagi mengambil pakai penggunaan nama wang haram atau wang syubhah yang bersesuaian dengan arus kemodenan masyarakat ketika ini.

Penyerahan kepada Baitulmal, Majlis Agama Islam Selangor merupakan pilihan cara pelupusan yang utama, selamat dan meyakinkan serta mampu menyumbang kepada peningkatan sosio-ekonomi umat Islam sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Seksyen 7, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003: “maka hendaklah menjadi kewajipan majlis untuk menggalakkan, mendorong, membantu dan mengusahakan kemajuan dan kesejahteraan ekonomi dan sosial masyarakat Islam di dalam negeri Selangor selaras dengan hukum syarak.”

Sehubungan dengan itu, satu akaun khas telah dibuka di MAIS bagi memudahkan masyarakat Islam menyalur dan melupuskan wang tidak patuh syariah agar hasil tersebut dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh masyarakat Islam dan dikongsikan bersama dengan masyarakat bukan Islam.

Anda Memiliki Wang Atau Harta Yang Diterima Melalui Sumber Yang Haram Atau Tidak Diketahui Statusnya?

Penyaluran wang tidak patuh syariah ini boleh dibuat secara tunai atau cek di kaunter Baitulmal, Majlis Agama Islam Selangor, Tingkat 9, Menara Utara, Bangunan Sultan Idris Shah, 40000 Shah Alam atau disalurkan ke akaun Bank Islam Malaysia Berhad, no. akaun 12-038-01-009567-6 atau cek atas nama “Majlis Agama Islam Selangor” atau pindahan wang melalui e-mais di laman web www.mais.gov.my.

Sebarang pertanyaan, sila hubungi:

Seksyen Tazkiyah Mal dan Khairat, Unit Amanah, Bahagian Harta Baitulmal
MAJLIS AGAMA ISLAM SELANGOR, TINGKAT 10, MENARA UTARA
BANGUNAN SULTAN IDRIS SHAH, 40000 SHAH ALAM, SELANGOR DARUL EHSAN
Tel: 03-5514 3773 atau 3772     Email: [email protected]

Sumber: Laman Web MAIS

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Tiga Firma Semikonduktor Mahu Labur US$100 Juta Di Pulau Pinang – Chow

GEORGE TOWN, 27 April (Bernama) — Tiga syarikat semikonduktor baharu berminat untuk melabur di Pulau Pinang membabitkan jumlah pelaburan sebanyak US$100 juta (US$1=RM4.76), kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Syarikat berkenaan adalah China Wafer Level CSP Co (WLCSP), Ningbo SJ Electronics Co (SJE) dan Wuxi AMTE Inc (AMTE).

Chow berkata pelaburan US$100 juta itu sebagaimana dinyatakan oleh Blue Chip Venture Capital (BCVC), berperanan penting dalam menarik pelaburan strategik ke Pulau Pinang dan dijangka merancakkan segmen reka bentuk litar bersepadu (IC) negeri itu yang kian berkembang dengan ekosistem pembungkusan serba maju.

“WLCSP merevolusikan industri semikonduktor dengan bertindak membangunkan teknologi inovatif selain membantu pelanggan melaksanakan pembuatan pakej semikonduktor dengan volum tinggi.

“SJE pula berpengalaman luas dalam bahan, peralatan serta keupayaan penyelidikan dan pembangunan hebat manakala AMTE adalah penyedia utama radas pembuatan semikonduktor dihasilkan di China dengan produk utama tertumpu kepada peralatan ‘etching’ atau pengetsaan dan pemproses filem yang digunakan di bahagian hadapan pemprosesan semikonduktor,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Chow berkata pemeteraian memorandum persefahaman dengan syarikat semikonduktor itu dilaksanakan sewaktu berlangsungnya Sidang Kemuncak KL20 pada minggu lepas yang menjadi asas bagi hasrat itu.

Selain itu, menjawab gesaan bekas Ketua Menteri Lim Guan Eng supaya negeri itu menjalankan pascanilai bagi meneliti bagaimana Pulau Pinang terlepas peluang hab atau taman reka bentuk IC kepada Selangor, Chow menegaskan bahawa Pulau Pinang masih kekal menarik kepada pelabur.

Malah, beliau juga menyambut baik sebarang pertemuan dengan Lim untuk membincangkan perkara itu.

Dalam pada itu, Pengasas Bersama merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Blue Chip VC Tim Chen menyifatkan kerjasama dengan Pulau Pinang sebagai satu perkembangan penting dalam industri semikonduktor negeri itu dan akan memakan masa beberapa bulan sebelum dapat dilaksanakan.

“Usaha bersama ini dapat mewujudkan ratusan peluang pekerjaan,” katanya.

Hadir sama, Pengarah Urusan Oriza PE Yao Hua, Pengasas Gallizul Capital Steven Hsieh dan Ketua Pegawai Eksekutif Rigol Technologies Wang Ning.

— BERNAMA